Bagi memenuhi permintaan ahli-ahli di aktiviti rekreasi luar yang lebih santai dan relaks, Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group membawakan pakej percutian di Cameron Highlands yang turut disematkan peluang menimba ilmu dan pengalaman secara tidak langsung. Peluang menyaksikan serta mendapatkan maklumat tentang pembikinan Teh Uncang / Teh Serbuk di Ladang Teh Boh Cameron Highlands serta lawatan ke Taman Agroteknologi MARDI di mana terletak pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, bunga-bungaan serta tanaman sayuran pelbagai jenis.


Urusan daftar masuk di hotel selesai jam 3.00 petang sebelum semua ahli beserta keluarga masuk berehat dan solat. Jam 4.00 petang, semua ahli dibawa ke Ladang Lebah atau Bee Farm berhampiran KEA farm dan kemudian singgah di Ladang Strawberri dimana dengan hanya RM20.00, ahli boleh memetik dan memilih strawberi sendiri untuk dibawa pulang. Pelbagai hiasan, makanan dan manisan serta cenderahati turut dijual disini.

Keesokkan harinya selepas bersarapan, semua ahli di bawa ke Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands yang menempatkan pelbagai jenis tanaman, sayur-sayuran, bunga-bungaan dan juga buah-buahan. Hampir satu jam di sana dengan keadaan cuaca cerah dan sederhana sejuk. Sebelum berangkat pulang, destinasi terakhir adalah Ladang Teh Boh. Secara kebetulan ahli-ahli dibenarkan melawat tempat pemprosesan daun-daun teh untuk dijadikan teh uncang dan peluang menimba ilmu serta melihat sendiri tidak dilepaskan.
P/S : Gambar-gambar adalah ehsan daripada ahli-ahli yang menyertai program ini. Terima kasih di atas sumbangan anda yang tidak terhingga.