Tuesday 14 February 2012

SANTAI DI CAMERON HIGHLAND

Bagi memenuhi permintaan ahli-ahli di aktiviti rekreasi luar yang lebih santai dan relaks, Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group membawakan pakej percutian di Cameron Highlands yang turut disematkan peluang menimba ilmu dan pengalaman secara tidak langsung.  Peluang menyaksikan serta mendapatkan maklumat tentang pembikinan Teh Uncang / Teh Serbuk di Ladang Teh Boh Cameron Highlands serta  lawatan ke Taman Agroteknologi MARDI di mana terletak pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, bunga-bungaan serta tanaman sayuran pelbagai jenis.


Perjalanan 120 orang ahli beserta ahli-ahli keluarga masing-masing melalui 3 bas persiaran di sewa khas begitu meriah sekali. Penyertaan lawatan turut diterima oleh staf syarikat Propel yang berminat dengan program serta aktiviti yang telah dijadualkan.  Matlamat aktiviti ini disamping bersantai dan menimba ilmu tercapai dan berjaya mengeratkan silaturrahim dikalangan ahli-ahli dan keluarga masing-masing. Keadaan cuaca yang sederhana sejuk di tanah tinggi Cameron membuatkan aktiviti berjalan dengan lancar. Meskipun tiba agak lewat  di hotel Rosa Passadena, namun setiap masa dapat dimanafaatkan dengan baik. 

 Urusan daftar masuk di hotel selesai jam 3.00 petang  sebelum semua ahli beserta keluarga masuk berehat dan solat.  Jam 4.00 petang, semua ahli dibawa ke Ladang Lebah atau Bee Farm berhampiran KEA farm dan kemudian singgah di Ladang Strawberri dimana dengan hanya RM20.00, ahli boleh memetik dan memilih strawberi sendiri untuk dibawa pulang. Pelbagai hiasan, makanan dan manisan serta cenderahati turut dijual disini. 
 Menjengah senja sebaik pulang ke hotel, semua ahli memilih untuk mendapatkan makanan di Pasar Malam berhampiran.  Masing-masing teruja mencuci mata dengan pelbagai juadah yang dijual serta tidak ketinggalan buah-buah strawberi yang dijual murah serta gadget cenderahati yang beraneka jenis untuk dibawa pulang. 

Keesokkan harinya selepas bersarapan, semua ahli di bawa ke Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands yang menempatkan pelbagai jenis tanaman, sayur-sayuran, bunga-bungaan dan juga buah-buahan.  Hampir satu jam di sana dengan keadaan cuaca cerah dan sederhana sejuk. Sebelum berangkat pulang, destinasi terakhir adalah Ladang Teh Boh.  Secara kebetulan ahli-ahli dibenarkan melawat tempat pemprosesan daun-daun teh untuk dijadikan teh uncang dan peluang menimba ilmu serta melihat sendiri tidak dilepaskan.
 


P/S :  Gambar-gambar adalah ehsan daripada ahli-ahli yang menyertai program ini.  Terima kasih di atas sumbangan anda yang tidak terhingga.