Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group telah melaksanakan aktiviti “Jom Lawat Melaka” pada 2hb Julai dan 3hb Julai 2011 sebagai salah satu destinasi lawatan pada tahun ini. Lawatan ini telah disertai hampir 40 orang peserta termasuk ahli Kelab dan keluarga.
Diantara objektif program ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada para peserta menimba seberapa banyak ilmu dan pengetahuan melalui pengalaman melawat ke sesuatu tempat.
Rombongan turut berpeluang melihat Menara Taming Sari, mercu tanda bentuk keris Hang Tuah, sambil disajikan dan diterangkan mengenai sejarah dan bangunan peninggalan sejarah terutamanya Bangunan Stadhuys, A’Famosa serta Bukit St. Paul.
Seterusnya, peserta dibawa ke Muzium Kesultanan Melaka dimana bangunan muzium itu sendiri adalah sebuah replika sebenar Istana Kesultanan Melaka suatu ketika dahulu.
Tepat jam 5.00 petang, peserta telah bertolak ke Kemunting Beach Resort, destinasi penginapan peserta yang terletak di pantai Pengkalan Balak. Pada waktu malam, peserta telah disajikan dengan hidangan makan malam ala BBQ sambil menikmati udara segar yang datangnya dari arah laut.
Keesokan harinya, setelah bersarapan, peserta telah dibawa singgah ke gerai Asam Pedas dan meneruskan perjalanan ke Port Dickson melalui jalan pesisir pantai. Peserta seterusnya dibawa ke Muzium Angkatan Tentera Darat Malaysia. Sebaik melangkah ke Muzium Tentera Darat di sini, hati terasa bagaikan sebahagian daripada 'keluarga' Angkatan Tentera Darat Malaysia (ATDM). Dengan bantuan pemandu pelancong muzium, Koperal Kamarul Fadzli, peserta telah dibawa untuk mengamati kisah perjuangan, keringat, darah, nyawa dan pejuang ATDM. Pastinya tidak akan membuatkan sesiapa pun merasa bosan ketika menyingkap kembali pelbagai khazanah, artifak, koleksi dan peralatan ketenteraan.
No comments:
Post a Comment