Tuesday 14 June 2011

Aktiviti May 2011: Jom Pancing 2011


Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group kini kembali menjayakan program  Jom Pancing pada 21 Mei 2011 lalu yang diadakan di Kolam Memancing Danau Serendah, Ulu Selangor bagi memenuhi permintaan pemancing-pemancing tegar daripada kalangan ahli-ahli Kelab.

Terletak bersebelahan dengan pusat perkelahan air terjun Serendah, Kolam Pancing Danau Serendah ini menjemput pemancing yang mementingkan daya juang ikan, saiz dan rasa ikan disamping beriadah bersama keluarga. Antara faktor utama yang menarik Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group memilih tempat ini ialah punca airnya yang menggunakan sumber terus dari air sungai pergunungan yang sentiasa cukup dengan oksigen dan bersih. Walaupun ikan-ikannya tidak terlalu besar tetapi kunjungan ke sini pasti menjanjikan satu kepuasan maksimun bertarung dengan ikan walaupun hanya bersaiz 1 kilogram hingga 2 kilogram sahaja.

Seramai 45 orang telah hadir memeriahkan program ini dengan 23 ahli Kelab yang mendaftarkan diri untuk  pertandingan memancing manakala yang lain dari kalangan ahli dan bukan ahli serta keluarga ahli yang hadir memberikan sokongan moral sambil bersantai di Air Terjun Serendah yang terletak lebih kurang 100 meter daripada kolam memancing selepas program Jom Pancing selesai pada sebelah petang.

Kelab telah berbesar hati menyediakan sedikit imbuhan bagi menyuntik semangat para pemancing dalam  program rekreasi ini dengan menawarkan hadiah wang tunai dan hamper barangan bagi pemancing yang berjaya membawa naik ikan terberat daripada kolam tersebut.  Hadiah wang tunai dan hamper barangan disediakan bagi tempat pertama hingga ke tiga manakala tempat ke empat dan ke lima turut menerima hamper barangan.

Sekalung tahniah diberikan kepada mereka yang berjaya iaitu:

Tempat Pertama dimenangi oleh En Abdul Manan Nordin yang membawa naik ikan Rohu seberat 1.5kg lebih awal, manakala En Mohd Herman Mahmod menduduki tempat Ke-Dua melalui ikan Rohu juga seberat 1.5kg juga selepas itu. Tempat Ke-Tiga dimenangi oleh En Mohd Ridzuan Mansor yang berjaya memancing naik ikan Rohu juga seberat 1.25kg. 

Tempat ke-Empat dimenangi oleh satu-satunya pemancing wanita iaitu Pn Rahayu Md Radzi yang berjaya membawa naik ikan patin seberat 900gm dan tempat ke-Lima oleh En Mohd Hasren Ismail dengan ikan ketutu seberat 200gm.

Sambutan dan kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli yang hadir amat memuaskan selain semua turut berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak kolam memancing yang menyediakan pek sarapan dan makan tengahari ala kampung.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang menjayakan program ini.  Nantikan program seterusnya daripada Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group.  Dan kepada yang belum menjadi ahli, temui wakil AJK Kelab untuk mendaftar.

No comments:

Post a Comment