Monday, 16 April 2012

AYUH DAKI BROGA - 14 APR 2012!


Aktiviti sukan lasak yang telah lama tidak diperhatian telah kembali menjengah memeriahkan program Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group buat tahun 2012, Ayuh Daki Broga! telah dilaksanakan dengan jayanya pada 14 April 2012.

KSRUG telah menerima 54 penyertaan daripada kalangan ahli beserta keluarga dan tidak ketinggalan staf UEM Builders yang berminat dengan sukan lasak ini.  Memulakan perjalanan seawal jam 5.40 pagi bertolak dari ULC, PJ dan singgah di Masjid Semenyih untuk solat Subuh jam 6.15 pagi sememangnya pagi yang diberkati.   Cuaca yang baik, tidak hujan mahupun panas terik melancarkan perjalanan pendaki-pendaki untuk tiba ke puncak pertama hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam.  Kegagalan untuk melihat matahari terbit tidak mematahkan semangat para ahli pendaki daripada KSRUG. 
Sesi memanaskan badan (warm-up) dijalankan menyaksikan keterujaan semua peserta daki Broga - diketuai oleh Chief Saiful daripada Putrajaya Adventure Team.
Melalui kawasan ladang kelapa sawit, semak samun dan meredah hutan memberikan pengalaman berbeza.  Trek yang sedia ada turut membantu perjalanan.  Bagi yang pertama kali mendaki, ianya bagai menguji kecergasan dan kesabaran untuk tiba dipuncak.  Manakala bagi yang telah biasa, mereka tidak lokek berkongsi pengalaman dan tunjuk ajar ketika mendaki.  Anak-anak kecil turut memeriahkan perjalanan, malah ada yang turut mengendong bayi sambil mendaki bagi mendapatkan pengalaman berbeza.  Tidak hanya ahli KSRUG berada di sini untuk menakluk Broga pada pagi ini, malah turut bersama pelajar-pelajar universiti terdekat serta warga luar yang turut berkongsi minat mendaki.

 
Keseronokkan pendakian adalah ketika berjaya menakluk puncak.  Broga mempunyai 4 puncak.  Berada di puncak pertama dan kedua cukup mengharukan bagi yang pertama kali mendaki, menakluk puncak ketiga dan keempat adalah satu kepuasan. 
PAT , pengelola yang diberi mandat menerajui pasukan KSRUG mendaki bukit broga ini telah menyediakan sarapan di puncak kedua, oleh yang demikian, ramai yang tidak melepaskan peluang melepaskan lelah sambil menikmati sarapan dan bergambar.

 Sedang sekumpulan berehat di puncak kedua dan ketiga, sekumpulan lagi yang begitu nekad meneruskan perjalanan ke puncak keempat telah bekerjasama dengan PAT, bagi kerja amal sosial iaitu mengutip sampah dan membersihkan kawasan bukit broga serta membantu mengecat dan menulis papan tanda yang baru BUKIT BROGA 400m. 

Pemandangan dari atas bukit Broga ini cukup cantik dengan kehadiran kabus sekitar jam 9.30 pagi sedikit sebanyak membantu meredakan kepenatan.

Sungguh menakjubkan!

Pengalaman semakin mencabar ketika menuruni bukit Broga.  Namun semua tidak patah semangat dan meneruskan perjalanan dengan penuh berhati-hati serta rasa puas.

Ada yang tergelincir, tergolek manja dan ada yang memilih untuk menggelongsor turun.  Paling mencabar apabila perlu menggunakan tali untuk menuruni bukit, namun tanah kesat kerana tiada hujan membantu semua ahli untuk turun dengan selamat.

Destinasi seterusnya Jeram Kedah, sekali lagi ahli-ahli KSRUG diuji ketangkasan bila terpaksa meredah perjalanan sejauh 8km untuk ditiba diperkampungan orang asli,  untuk berehat dan menikmati hidangan tengah hari sambil merehatkan badan dan dapat mandi manda disini.



Sememangnya pengubat penat lelah, air terjun yang sejuk dan kawasan yang sedikit terpencil, makanan ala-BBQ yang dihidangkan panas-panas begitu membuka selera.

Ada yang tidak melepaskan peluang mandi manda, ada yang hanya merendam kaki sambil menikmati hidangan tengah hari.  Ada juga yang meluangkan rasa penat sambil membaca dan menikmati udara segar disekitar  kawasan yang penuh hijau ini.

Tidak melepaskan peluang, berendam sambil menjamu selera.
 Pengelola PAT , Chief Saiful menyediakan roti pita berinti sardin, ayam bakar, sosej panggang serta kentang bakar di suatu sudut buat peserta-peserta program sebagai hidangan makan tengahhari.

Terima kasih kepada peserta program di atas semangat dan "sportingnya" anda..

No comments:

Post a Comment