Sunday 20 March 2011

Aktiviti Mac 2011: Pesta Buku

Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group telah merealisasikan satu lagi program yang julung-julung kali diadakan iaitu Pesta Buku Pertama 2011. Ia dilaksanakan bagi menggalakkan budaya membaca dikalangan ahli Kelab dan juga kakitangan Syarikat di Mercu UEM.

Pesta Buku ini telah berlangsung selama 2 hari,  bermula pada hari Selasa 15 Mac 2011 dan berakhir pada hari Rabu 16 Mac 2011, bertempat  di perkarangan Dewan Odyssey, Tingkat 7 Mercu UEM dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Program ini direncanakan bersempena dengan cuti sekolah dan serentak berlangsungnya program “Creative Writing” anjuran bersama UEM  Group Berhad dengan News Straits Times Press (NSTP) untuk anak-anak kakitangan berusia antara 10 hingga 12 tahun.  

Antara wakil toko buku yang telah bersama menjayakan program ini dengan memberikan potongan harga diskaun yang menarik adalah  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), PTS Publication Sdn Bhd, Kumpulan Karangkraf (Alaf21), Kedai Buku Keliki Literasi dan Syarikat Penerbitan Wholesale Mart Cheras.  Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group juga telah menerima penyertaan ahli untuk membuka gerai antaranya gerai GPS, buku dan majalah terpakai, gerai barangan serta pakaian terpakai.

Sebagai menzahirkan tanda sokongan kelab kepada program pesta buku ini, Kelab Sukan  telah memberikan baucar diskaun sebanyak RM10.00 kepada setiap ahli. Sambutan bagi penganjuran program pertama ini adalah amat memuaskan dimana lebih daripada 200 baucar diskaun telah digunakan oleh ahli serta maklum balas yang baik telah diterima daripada toko-toko buku yang hadir.


Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan program ini. Nantikan pesta buku ke-2 yang bakal dilaksanakan pada penghujung tahun ini. 






Pogram Redah Jeram dalam Utusan Malaysia

Buat julung kalinya, program kelab sukan telah terpapar di dada akhbar!

Program yang dimaksudkan adalah aktiviti redah jeram yang telah dilaksanakan baru-baru ini.

Laporan berikut telah terpapar di ruangan WOW, Utusan Malaysia pada 12 Mac 2011 (Sabtu).

Wednesday 2 March 2011

Aktiviti Februari 2011: Rakit Redah Jeram di Pos Bersih, Sungai Slim

Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua ahli kelab yang telah mengikuti dan menjayakan program Rakit Redah Jeram pada 19 Februari 2011 di Sungai Slim, Perak.

Seramai 62 peserta terdiri daripada ahli serta keluarga masing-masing telah hadir dengan menaiki 2 buah bas dan 3 buah kereta. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan, di antaranya merakit meredah jeram, aktiviti riadah untuk kanak-kanak, memancing, bersantai dan bermandi-manda.

Kebingitan dan hiruk pikuk kehidupan bandar bertukar menjadi tenang dan mendamaikan, apabila kita dapat menikmati suasana santai di kawasan hutan yang menghijau dan deruan air sungai yang bersih lagi menyamankan. 

Selain itu, kita juga berkesempatan untuk menyampaikan sedikit sumbangan berbentuk pakaian kepada penduduk orang asli melalui ketua orang asli di Pos Bersih, Sungai Slim.  Dan sebelum pulang, para peserta juga telah berpeluang untuk singgah menikmati keenakan Pau Yik Mun yang terkenal di Tanjung Malim.


Nantikan aktiviti seteruskan yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Dan kepada yang belum menjadi ahli, tunggu apa lagi? Daftarlah segera!

Aktiviti Januari 2011: Majlis Makan Malam Tahunan Kelab


Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group telah mengadakan majlis makan malam tahunan kelab pada 15 Januari 2011 (Sabtu) bertempat di Restoren Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan tema Retro 70-80an. Seramai 110 orang termasuk ahli dan keluarga masing-masing telah hadir menjayakan majlis makan malam tersebut.

Diantara tetamu terhormat yang hadir menyerikan majlis adalah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Penaung Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group, YBhg. Dato' Izzaddin Idris serta Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, En Annuar Marzuki. 


Dalam majlis tersebut juga, YBhg. Dato' telah berbesar hati menyampaikan sijil-sijil kepada AJK Kelab lama, para pemenang mencipta logo dan menyampaikan cenderahati kepada pesara UEM Group, saudara Abdul Hajis, di atas sumbangan beliau kepada kelab sepanjang tempoh beliau menjadi ahli kelab selama 25 tahun. YBhg. Dato' juga berbesar hati merasmikan dan melancarkan logo kelab sukan 
yang baru. 

Diantara aktiviti yang dijalankan sepanjang majlis makan malam adalah tayangan video lakonan, cabutan bertuah, pakaian retro tercantik, aktiviti kanak-kanak dan ahli, serta ahli kelab yang paling sporting.


Senarai Aktiviti Kelab Sukan Tahun 2011

Setelah beberapa mesyuarat AJK berlangsung selama 2 bulan, serta pembentangan pelan strategik Kelab Sukan kepada Pengurusan Tertinggi UEM Group Berhad dan selaku Penaung Kelab, YBhg. Dato' Izzaddin Idris, Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group ingin menyenaraikan kepada ahli-ahlinya, senarai aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang tempoh 2011. 

Bagi tahun 2011, Kelab mengambil keputusan untuk mengambil pendekatan baru dengan melaksanakan lebih banyak aktiviti riadah berbanding sukan, bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dikalangan ahli serta menarik minat bukan ahli untuk menyertai Kelab.

Dengan perancangan aktiviti-aktiviti yang telah disenaraikan diharapkan, semua ahli Kelab mengambil kesempatan untuk melibatkan diri dan menjayakan aktiviti-aktiviti terancang yang bakal dilaksanakan dari masa ke semasa.

Aktiviti Disember 2010: Pertandingan Mencipta Logo Kelab Sukan

Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group telah menganjurkan pertandingan mencipta logo kelab sempena Menyambut Ulang Tahun Kelab ke-25 tahun. Pertandingan ini bermula pada  24 November 2010 dan berakhir pada 9 Disember 2010. Seramai 25 penyertaan telah diterima dan 5 logo telah disenarai pendek untuk dipilih sebagai pemenang mencipta logo. Keputusan pemenang mencipta logo adalah seperti berikut:-



Tempat Pertama: Rahayu Md Radzi



Tempat Ke2: Irmayanti Samsudin






Tempat Ke3: Rozman Mat Isa





Jutaan terima kasih kepada para peserta dan sekalung tahniah diucapkan kepada para pemenang. 

Memperkenalkan alamat email Kelab

Memulakan musim baru dengan wajah dan semangat baru, Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group kini telah mempunyai e-mel sendiri bagi kemudahan ahli-ahlinya berinteraksi dengan AJK Kelab.

E-mel ini akan digunakan sebagai saluran khas menyampaikan maklumat terkini berkaitan aktiviti Kelab serta digunakan sebagai platfom menerima maklumbalas ahli berkaitan komen, cadangan dan pertanyaan.


Dekati kami melalui e-mel ini di: uemsportsclub@uemnet.com

Tuesday 1 March 2011

Perlantikan Baru AJK Kelab sesi 2010-2012


Pada 12 November 2010 bertempat di The Curve, tingkat 9, Mercu UEM, Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group telah mengadakan "Annual General Meeting" (AGM)bagi membentangkan akaun dan aktiviti tahunan yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh 2009-2010, serta pemilihan dan perlantikan baru ahli jawatankuasa (AJK) bagi sesi 2010-2012. Berikut adalah senarai AJK Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group bagi sesi 2010-2012.
Sekalung tahniah diucapkan kepada AJK baru diatas perlantikan mereka. Semoga setiap initiatif, perancangan dan perlaksanaan program dan aktiviti bagi tahun mendatang dapat dilaksanakan dengan jayanya.