Tuesday, 8 November 2011

PERTANDINGAN BOLING ERATKAN SILATURRAHIM

Sukar mencari sukan yang dapat mengumpulkan seisi keluarga dalam situasi riadah dan santai, namun pada 30 Oktober 2011 pihak Kelab telah berjaya  menjadikan sukan Boling, sukan yang tidak hanya khusus kepada golongan dewasa malah turut menarik minat kanak-kanak mencubanya, sebagai satu program yg berjaya.
  

Kali ini, Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group telah menganjurkan pertandingan boling dimana ahli-ahlinya berpeluang untuk beriadah dan bersukan dalam waktu yang sama. Matlamat utama aktiviti ini bukanlah pertandingan dan hiburan semata-mata tetapi ianya dilaksanakan bagi mengeratkan silaturahim sesama ahli. Ianya tercapai apabila setiap ahli kumpulan yang dipilih melalui cabutan undi dapat berkenalan dan menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan masing-masing serta bergembira sepanjang aktiviti berlangsung.

Seramai 52 orang ahli telah menyenaraikan nama untuk bertanding dimana program tersebut turut dihadiri oleh ahli-ahli yang tidak bertanding serta ahli keluarga nyata menjadikan suasana di Cosmic Bowl Mid Valley Megamall, Bangsar riuh rendah sepanjang program dijalankan. Sorakan, tarian kemenangan dan hilai ketawa cukup menggambarkan setiap ahli meraikan aktiviti ini.

Keunikan nama-nama kumpulan seperti “Redah kasi Pecah, Unbowliveable, Ke ba Boom, Apa hal Pandang-pandang? , The Strokers , Bowlasah Jer, AAAA..  Ko Ada? , First Time Bowler, Pin Busters, Rolling Thunder, XXX Strike, Alamak Strike la Pulak! Dan Tetiba je Strike”, bukan sahaja menyerlahkan bakat di dalam sukan bowling malah memupuk semangat kesukanan setiap ahli.  Setiap pemain berpeluang bermain sebanyak 3 set permainan dan membawa pulang hadiah yang ditawarkan.
Walaupun hadiah dan imbuhan yang diberi hanyalah sebagai penyeri majlis, namun kesemua ahli yang hadir tidak pulang dengan tangan kosong!  
Juara Individu Lelaki dimenangi oleh En Mansor Mabol dengan mata 524, manakala Juara Individu Wanita dimenangi oleh Pn Zawiyah Abdullah dengan mata 402. Juara Berkumpulan pula dimenangi oleh “Apa hal Pandang-Pandang”, diikuti “XXX Strike” tempat kedua dan “Pin Busters” ditempat ketiga serta “Ke Ba Booom!!” ditempat keempat. Sehebat nama kumpulan begitulah hebatnya persembahan permainan mereka.

Setiap peserta menerima sumbangan baucar dan hadiah-hadiah pemenang telah disampaikan oleh En Rohijas Md Sharif, mewakili pegawai pengurusan Syarikat diiringi oleh Presiden Kelab, En Farzi Shah Zainal Azzudin.
Ribuan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli beserta ahli keluarga dan wakil Jawatankuasa Kelab yang turut  bersama-sama membantu menjayakan program ini.  Semoga aktiviti ini dapat dilaksanakan lagi di tahun akan datang dengan tawaran hadiah yang lebih menarik.
Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini! J

Wednesday, 2 November 2011

PENGAGIHAN BUAH KURMA DAN SUMBANGAN BUBUR LAMBUK SEMPENA RAMADHAN

Setiap kali menjelmanya Ramadhan, pastinya buah kurma dan juga bubur lambuk menjadi perhatian umat Islam di rantau ini.
Buah kurma; buah kegemaran Nabi Muhammad s.aw. yang mempunyai seribu satu khasiat, juga bubur lambuk yang merupakan juadah teristimewa di bulan Ramadhan telah diagih-agihkan kepada ahli kelab yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.
Program pengagihan dimulakan dengan pengagihan buah kurma madu MOSHKAN pada 29 Julai 2011. Bertempat di Kafe Panorama di Mercu UEM, program yang dimulakan pada jam 11 pagi turut menarik perhatian pengunjung kafe yang bukan ahli untuk membeli sekotak dua buat santapan berbuka di rumah.
Bulan Ramadhan 2011 telah diakhiri dengan pemberian sumbangan lebih 200 bungkus Bubur Lambuk yang dimasak khas buat ahli Kelab.

Presiden Kelab, En Farzi Shah beserta Jawatankuasa yang lain telah bersama-sama ‘turun padang’ dan berkunjung ke setiap tingkat di Mercu UEM pada 23 Ogos untuk menyampai sumbangan ikhlas ini.  Semoga tradisi ini dapat diteruskan di Ramadhan yang akan datang.
  

Sunday, 11 September 2011

Aktiviti July 2011: Jom Makan Durian

22 Julai, satu tarikh yang tidak dapat dilupakan oleh ahli-ahli Kelab Sukan & Rekreasi UEM, di mana telah berlangsungnya acara ‘Jom Makan Durian’.

Bertempat di Laman Panorama, acara yang penuh kemeriahan ini bermula dari jam 4.30 petang – 7.30 malam ini dan diadakan bersempena dengan Pesta Buah-Buahan di seluruh Malaysia.  Seramai 200 orang ahli kelab telah hadir untuk menikmati buah durian yang juga dinobatkan sebagai Raja Segala Buah, di samping mengeratkan silaturrahim dengan tidak mengira kaum, bangsa dan agama.

‘Durian Kampung’ merupakan pilihan pihak Sekretariat buat acara tahun ini. Asli, enak, lazat – sememangnya tidak ada tolok bandingannya.

Kegembiraan dan kepuasan jelas terpancar di setiap wajah ahli yang hadir. Majlis digamatkan lagi dengan Cabutan Bertuah bagi 25 ahli Kelab yang bertuah pada hari Jumaat yang berkat itu. Jutaan Terima kasih diucapkan kepada Jabatan Tanggungjawab Korporat  dan Komunikasi, Jabatan Pentadbiran, Cafe Panorama, OPUS AMX dan juga Propel Berhad  di atas sokongan dan kerjasama di dalam menjayakan program ini.

Tuesday, 23 August 2011

Wednesday, 17 August 2011

Aktiviti July 2011: Cupcakes oleh Datin Mary Zain

Bulan Julai, Bulan yang penuh dengan aktiviti Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group. Setelah terlaksananya program lawatan ke Melaka Bandaraya Bersejarah dan program jom wayang, pada hari Jumaat bersamaan 15 hari bulan Julai 2011, bertempat di cafeteria tingkat 9 mercu UEM, Kelab Sukan meneruskan aktivitinya dengan program dekorasi cupcake oleh Datin Mary Zain. 


Program yang dirancang bertujuan untuk memberi pengalaman dan tunjuk ajar kepada ahli kelab sukan, khususnya bagi ahli wanita di kelab sukan ini agar dapat mempelajari teknik-teknik dan peralatan yang digunakan untuk mendekorasi atau menghias cupcake. Seramai hampir 40 orang peserta telah menyertai program ini. Tepat jam 5.30 petang, program dekorasi ini dimulakan. Kelihatan peserta-peserta begitu teruja untuk melibatkan diri didalam program ini. 


Program dimulakan dengan pengenalan oleh datin Mary Zain atau nama sebenarnya Seri Ervienawaty Mat Zain mengenai cara-cara untuk menyediakan cupcake dengan baik dan mengenai perkakasan yang akan digunakan untuk mendekorasi cupcake.


Dekorasi dimulakan dengan mempelajari teknik-teknik untuk menghias cupcake menggunakan icing. Bagi peserta yang pertama kali mencuba, mereka dapat mengenali jenis-jenis nozel, tips-tips untuk mendekorasi, cara menggunakan piping bag dan pelbagai teknik-teknik yang menarik. Keterujaan dan keghairahan peserta mendekorasi menggamatkan lagi suasana program pada hari itu. Antara corak-corak yang digunakan untuk medekorasi terdiri dari corak tumbuhan dan corak geometri.


Setelah selesai mempelajari teknik menggunakan icing, program diteruskan dengan mempelajari teknik menggunakan fondant pula. Peserta dapat mengetahui cara untuk menyediakan fondant dan teknik yang betul untuk menggubah fondant. Antara bentuk yang dipelajari dan digunakan terdiri dari bentuk flora dan fauna. Menggubah fondant yang diperbuat daripada gula untuk menjadi  bentuk yang di ingini oleh peserta adalah sesuatu yang amat menarik untuk dipelajari.


Lebih kurang jam 7.00 petang, program ini ditamatkan. Cupcake yang telah pun  dihias, diberikan dan dibawa pulang oleh peserta program dekorasi ini. Diharap program ini dapat memberikan pengetahuan dan pengalaman yang baru kepada ahli-ahli yang menyertainya. Dari pihak AJK kelab sukan dan rekreasi UEM Group, kami amat berterima kasih kepada pihak cafeteria dan pihak-pihak yang terbabit atas kerjasama yang telah diberikan bagi menjayakan program ini. 


Kepada peserta yang menyertai program ini diharap semuanya ceria dan bergembira pada hari itu. Teruskan dalam menyertai dan memberi sokongan terhadap aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group.

Aktiviti July 2011: Jom ke Melaka!



Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group telah melaksanakan aktiviti “Jom Lawat Melaka” pada 2hb Julai dan 3hb Julai 2011 sebagai salah satu destinasi lawatan pada tahun ini. Lawatan ini telah disertai hampir 40 orang peserta termasuk ahli Kelab dan keluarga.

Diantara objektif program ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada para peserta menimba seberapa banyak ilmu dan pengetahuan melalui pengalaman melawat ke sesuatu tempat.  

Semua peserta telah berkumpul seawal  7.00pagi di Laman Ilmu UEM, Petaling Jaya dan bertolak pada jam 8.30 pagi dengan menaiki sebuah bas pesiaran yang disewa khas oleh pihak Kelab. Rombongan singgah di Hentian Sebelah Nilai untuk bersarapan pagi , seterusnya meneruskan perjalanan ke Melaka dan sampai di Bandar Hilir Melaka pada jam 10.00 pagi. 

Peserta lawatan pertamanya telah dibawa menaiki River Cruise  sambil menikmati pemandangan indah sungai Melaka yang sekarang terkenal dengan nama “Venice of Asia”. Kalau dahulu ia hanyalah sebatang sungai yang tercemar dengan sisa kumbahan dan sampah, namun kini sungai Melaka menjadi destinasi popular yang dikunjungi. Dalam tempoh 45 minit perjalanan pergi-balik, perjalanan menaiki bot Melaka River Cruise akan diberi penerangan mengenai produk pelancongan yang terdapat di sepanjang laluan termasuk kampung Morten, sebuah perkampungan Melayu yang masih mengekalkan rumah tradisional Melaka di tengah-tengah Bandaraya Warisan Dunia.

Rombongan turut berpeluang melihat Menara Taming Sari, mercu tanda bentuk keris Hang Tuah, sambil disajikan dan diterangkan mengenai sejarah dan bangunan peninggalan sejarah terutamanya Bangunan Stadhuys, A’Famosa serta Bukit St. Paul. 

Seterusnya, peserta dibawa ke Muzium Kesultanan Melaka dimana bangunan muzium itu sendiri adalah sebuah replika sebenar Istana Kesultanan Melaka suatu ketika dahulu. 

Tepat jam 5.00 petang, peserta telah bertolak ke Kemunting Beach Resort, destinasi penginapan peserta yang terletak di pantai Pengkalan Balak. Pada waktu malam, peserta telah disajikan dengan hidangan makan malam ala BBQ sambil menikmati udara segar yang datangnya dari arah laut.

Keesokan harinya, setelah bersarapan, peserta telah dibawa singgah ke gerai Asam Pedas dan meneruskan perjalanan ke Port Dickson melalui jalan pesisir pantai. Peserta seterusnya dibawa ke Muzium Angkatan Tentera Darat Malaysia. Sebaik melangkah ke Muzium Tentera Darat di sini, hati terasa bagaikan sebahagian daripada 'keluarga' Angkatan Tentera Darat Malaysia (ATDM). Dengan bantuan pemandu pelancong muzium, Koperal Kamarul Fadzli, peserta telah dibawa untuk mengamati kisah perjuangan, keringat, darah, nyawa dan pejuang ATDM. Pastinya tidak akan membuatkan sesiapa pun merasa bosan ketika menyingkap kembali pelbagai khazanah, artifak, koleksi dan peralatan ketenteraan.

Selepas lawatan , peserta dibawa makan tengahari. Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur berakhir dengan selamat dan tiba di Laman Ilmu UEM pada jam 5.00 petang. Terima kasih diucapkan kepada semua yang menjayakan program ini.  Nantikan program seterusnya daripada Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group.  Dan kepada yang belum menjadi ahli, temui wakil AJK Kelab untuk mendaftar.


Tuesday, 14 June 2011

Aktiviti May 2011: Jom Pancing 2011


Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group kini kembali menjayakan program  Jom Pancing pada 21 Mei 2011 lalu yang diadakan di Kolam Memancing Danau Serendah, Ulu Selangor bagi memenuhi permintaan pemancing-pemancing tegar daripada kalangan ahli-ahli Kelab.

Terletak bersebelahan dengan pusat perkelahan air terjun Serendah, Kolam Pancing Danau Serendah ini menjemput pemancing yang mementingkan daya juang ikan, saiz dan rasa ikan disamping beriadah bersama keluarga. Antara faktor utama yang menarik Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group memilih tempat ini ialah punca airnya yang menggunakan sumber terus dari air sungai pergunungan yang sentiasa cukup dengan oksigen dan bersih. Walaupun ikan-ikannya tidak terlalu besar tetapi kunjungan ke sini pasti menjanjikan satu kepuasan maksimun bertarung dengan ikan walaupun hanya bersaiz 1 kilogram hingga 2 kilogram sahaja.

Seramai 45 orang telah hadir memeriahkan program ini dengan 23 ahli Kelab yang mendaftarkan diri untuk  pertandingan memancing manakala yang lain dari kalangan ahli dan bukan ahli serta keluarga ahli yang hadir memberikan sokongan moral sambil bersantai di Air Terjun Serendah yang terletak lebih kurang 100 meter daripada kolam memancing selepas program Jom Pancing selesai pada sebelah petang.

Kelab telah berbesar hati menyediakan sedikit imbuhan bagi menyuntik semangat para pemancing dalam  program rekreasi ini dengan menawarkan hadiah wang tunai dan hamper barangan bagi pemancing yang berjaya membawa naik ikan terberat daripada kolam tersebut.  Hadiah wang tunai dan hamper barangan disediakan bagi tempat pertama hingga ke tiga manakala tempat ke empat dan ke lima turut menerima hamper barangan.

Sekalung tahniah diberikan kepada mereka yang berjaya iaitu:

Tempat Pertama dimenangi oleh En Abdul Manan Nordin yang membawa naik ikan Rohu seberat 1.5kg lebih awal, manakala En Mohd Herman Mahmod menduduki tempat Ke-Dua melalui ikan Rohu juga seberat 1.5kg juga selepas itu. Tempat Ke-Tiga dimenangi oleh En Mohd Ridzuan Mansor yang berjaya memancing naik ikan Rohu juga seberat 1.25kg. 

Tempat ke-Empat dimenangi oleh satu-satunya pemancing wanita iaitu Pn Rahayu Md Radzi yang berjaya membawa naik ikan patin seberat 900gm dan tempat ke-Lima oleh En Mohd Hasren Ismail dengan ikan ketutu seberat 200gm.

Sambutan dan kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli yang hadir amat memuaskan selain semua turut berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak kolam memancing yang menyediakan pek sarapan dan makan tengahari ala kampung.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang menjayakan program ini.  Nantikan program seterusnya daripada Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group.  Dan kepada yang belum menjadi ahli, temui wakil AJK Kelab untuk mendaftar.

Sunday, 20 March 2011

Aktiviti Mac 2011: Pesta Buku

Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group telah merealisasikan satu lagi program yang julung-julung kali diadakan iaitu Pesta Buku Pertama 2011. Ia dilaksanakan bagi menggalakkan budaya membaca dikalangan ahli Kelab dan juga kakitangan Syarikat di Mercu UEM.

Pesta Buku ini telah berlangsung selama 2 hari,  bermula pada hari Selasa 15 Mac 2011 dan berakhir pada hari Rabu 16 Mac 2011, bertempat  di perkarangan Dewan Odyssey, Tingkat 7 Mercu UEM dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Program ini direncanakan bersempena dengan cuti sekolah dan serentak berlangsungnya program “Creative Writing” anjuran bersama UEM  Group Berhad dengan News Straits Times Press (NSTP) untuk anak-anak kakitangan berusia antara 10 hingga 12 tahun.  

Antara wakil toko buku yang telah bersama menjayakan program ini dengan memberikan potongan harga diskaun yang menarik adalah  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), PTS Publication Sdn Bhd, Kumpulan Karangkraf (Alaf21), Kedai Buku Keliki Literasi dan Syarikat Penerbitan Wholesale Mart Cheras.  Kelab Sukan & Rekreasi UEM Group juga telah menerima penyertaan ahli untuk membuka gerai antaranya gerai GPS, buku dan majalah terpakai, gerai barangan serta pakaian terpakai.

Sebagai menzahirkan tanda sokongan kelab kepada program pesta buku ini, Kelab Sukan  telah memberikan baucar diskaun sebanyak RM10.00 kepada setiap ahli. Sambutan bagi penganjuran program pertama ini adalah amat memuaskan dimana lebih daripada 200 baucar diskaun telah digunakan oleh ahli serta maklum balas yang baik telah diterima daripada toko-toko buku yang hadir.


Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan program ini. Nantikan pesta buku ke-2 yang bakal dilaksanakan pada penghujung tahun ini. 






Pogram Redah Jeram dalam Utusan Malaysia

Buat julung kalinya, program kelab sukan telah terpapar di dada akhbar!

Program yang dimaksudkan adalah aktiviti redah jeram yang telah dilaksanakan baru-baru ini.

Laporan berikut telah terpapar di ruangan WOW, Utusan Malaysia pada 12 Mac 2011 (Sabtu).

Wednesday, 2 March 2011

Aktiviti Februari 2011: Rakit Redah Jeram di Pos Bersih, Sungai Slim

Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua ahli kelab yang telah mengikuti dan menjayakan program Rakit Redah Jeram pada 19 Februari 2011 di Sungai Slim, Perak.

Seramai 62 peserta terdiri daripada ahli serta keluarga masing-masing telah hadir dengan menaiki 2 buah bas dan 3 buah kereta. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan, di antaranya merakit meredah jeram, aktiviti riadah untuk kanak-kanak, memancing, bersantai dan bermandi-manda.

Kebingitan dan hiruk pikuk kehidupan bandar bertukar menjadi tenang dan mendamaikan, apabila kita dapat menikmati suasana santai di kawasan hutan yang menghijau dan deruan air sungai yang bersih lagi menyamankan. 

Selain itu, kita juga berkesempatan untuk menyampaikan sedikit sumbangan berbentuk pakaian kepada penduduk orang asli melalui ketua orang asli di Pos Bersih, Sungai Slim.  Dan sebelum pulang, para peserta juga telah berpeluang untuk singgah menikmati keenakan Pau Yik Mun yang terkenal di Tanjung Malim.


Nantikan aktiviti seteruskan yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Dan kepada yang belum menjadi ahli, tunggu apa lagi? Daftarlah segera!

Aktiviti Januari 2011: Majlis Makan Malam Tahunan Kelab


Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group telah mengadakan majlis makan malam tahunan kelab pada 15 Januari 2011 (Sabtu) bertempat di Restoren Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan tema Retro 70-80an. Seramai 110 orang termasuk ahli dan keluarga masing-masing telah hadir menjayakan majlis makan malam tersebut.

Diantara tetamu terhormat yang hadir menyerikan majlis adalah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Penaung Kelab Sukan dan Rekreasi UEM Group, YBhg. Dato' Izzaddin Idris serta Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, En Annuar Marzuki. 


Dalam majlis tersebut juga, YBhg. Dato' telah berbesar hati menyampaikan sijil-sijil kepada AJK Kelab lama, para pemenang mencipta logo dan menyampaikan cenderahati kepada pesara UEM Group, saudara Abdul Hajis, di atas sumbangan beliau kepada kelab sepanjang tempoh beliau menjadi ahli kelab selama 25 tahun. YBhg. Dato' juga berbesar hati merasmikan dan melancarkan logo kelab sukan 
yang baru. 

Diantara aktiviti yang dijalankan sepanjang majlis makan malam adalah tayangan video lakonan, cabutan bertuah, pakaian retro tercantik, aktiviti kanak-kanak dan ahli, serta ahli kelab yang paling sporting.